Tok Temong atau nama asalnya Tok Perabu merupakan seorang pembesar wanita yang berkuasa memerintah Temong sebelum zaman pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah I (1528-1549).

Suaminya ialah Tok Pelanduk dan abangnya, Tun Saban adalah pembesar yang berkuasa memerintah Hulu Perak.

Selepas Tun Saban meninggalkan Kampar (Sumatera) untuk kembali ke Tanah Melayu, beliau telah berpindah ke Beredong Budi di Hulu Petani. Tidak lama kemudian, Tun Saban berpindah pula ke Belum di Hulu Perak yang mana beliau telah membuka kampung bernama Relap Reli. Tun Saban menjadi ketua di Belum dan seterusnya mengangkat salah seorang adik perempuannya iaitu Tok Perabu menjadi ketua di tempat bernama Temong yang akhirnya me­nyaksikan Tok Perabu dikenali dengan gelaran Tok Temong.

(sumber petikan dari: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.aspy=2015&dt=0609&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm)


Ketika Tun Saban tiba di Perak, negeri ini masih belum mempunyai raja dan kebanyakan penduduknya adalah merupakan pedagang dari Melaka, Selangor, Siak, Kampar dan Jambi.Dalam kalangan penduduk itu, ada seorang wanita bernama Tok Masuka yang berasal dari Daik dan menjaga seorang bangsa Temusai, bernama Nakhoda Kassim.

Ketika Tok Masuka meninggal dunia, ada diwasiatkan supaya tempatnya digantikan dengan seorang raja yang berasal daripada anak cucu Sang Sapurba supaya zuriat raja-raja yang turun dari Bukit Si Gantung tidak terputus di Tanah Melayu ketika itu.Berikutan itu, Tun Saban dan Nakhoda Kassim berangkat ke Kampar untuk mengadap Sultan Mahmud Shah dan memohon supaya seorang putera baginda menjadi sultan di Perak.Sultan Mahmud telah meminta putera baginda, Raja Muzaffar menjadi Sultan Perak dan telah ditabalkan menjadi sebagai Sultan Perak yang pertama pada 1528.

Semasa pertabalan Raja Muzaffar itu, Tok Temong telah membawa persembahan sejenis tangkal azimat dikenali Mastika Embun yang telah dijadikan sebagai salah satu alat kebesaran diraja Perak dan digunakan dalam istiadat pertabalan diraja Perak.Sebagai membalas persembahan Tok Temong itu, Sultan Muzaffar telah mengurniakan sebuah puan bujur (bekas sireh), tetapi dikembalikan oleh Tok Temong.Sebaliknya, Tok Temong hanya mahukan ikrar (janji) daripada Sultan Muzaffar supaya anak cucu baginda hendaklah memerintah di sebelah kanan mudik Sungai Perak, manakala Tok Temong serta anak cucunya memerintah di sebelah kiri mudik sungai tersebut.

Disebabkan itu, pada hari ini didapati kota-kota istana dan makam sultan-sultan terdahulu di negeri ini terletak di sebelah kanan mudik Sungai Perak sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Perak ke-33, Sultan Idris Shah yang mula membuat istana dan makam di sebelah kiri mudik Sungai Perak.Setelah meninggal dunia, Tok Temong dimakamkan di Kampung Temong Ulu, Mukim Chegar Galah di Kuala Kangsar

(Sumber dipetik dari: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tok-temong-tokoh-pembesar-perak-1.88384)